Banyak negara kini
mempromosikan pusat dan tempat sejarah sesuatu agama. Pengunjung ke destinasi
tersebut tidak semestinya penganut agama berkenaan, tetapi juga penganut agama
lain yang ingin melihat nilai sejarah dan senibina. Contoh destinasi
pelancongan berkaitan agama di negara kita ialah Masjid Negara dan kuil Hindu
di Batu Cave.
Dalam Islam, melancong
satu amalan digalakkan untuk mendapat manfaat berkaitannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Pergilah berjalan
(mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang
mendustai Allah.” (Surah al-Anam, ayat 11).
Allah SWT menyuruh kita
melancong agar dapat melihat keunikan ciptaan alam dan budaya sesuatu kaum. Setiap
tempat mempunyai perbezaan dari segi penciptaan alam semulajadi dan
penduduknya. Pengalaman yang diperoleh melalui pelancongan diharapkan dapat
menyedarkan betapa hebatnya penciptaan Allah SWT.
Masjid merupakan antara
lokasi yang dijadikan destinasi pelancongan. Sudah banyak masjid di negara kita
menjadi destinasi pelancong tempatan dan luar negara seperti Masjid
Negara (Kuala Lumpur), Masjid Putra (Putrajaya), Masjid Kristal (Taman Tamadun Islam,
Kuala Terengganu), Masjid Ubudiah (Kuala Kangsar, Perak)
Masjid Kampungg Laut (Nilam Puri, Kelantan) dan Masjid Ulu Melaka di Melaka.
Namun, timbul persoalan
kewajaran masjid dijadikan destinasi pelancongan melibatkan bukan Islam.
Kehadiran pelancong bukan Islam dibimbangi boleh menjejaskan kesucian masjid
yang menjadi rumah Allah SWT serta mengganggu ahli jamaah yang ingin melakukan
ibadat.
Perbincangan mengenai
hukum bukan Islam memasuki masjid telah lama diperdebatkan di kalangan ulama. Kebanyakan
ulama dalam Mazhab Syafie berpendapat harus atau tidak ditegah orang bukan
Islam memasuki atau berada di dalam masjid untuk niat atau keperluan tertentu.
Bagaimanapun, orang
bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram. Firman Allah SWT dalam
surah a-Taubah, ayat 28 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya
(kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka
menghampiri Masjid al-Haram.”
Pendapat mengatakan
bukan Islam harus memasuki masjid selain Masjidil Haram berdasarkan hadis
diriwayatkan Bukhari yang menceritakan mengenai seorang tawanan perang,
Tsumamah Utsaal yang belum memeluk Islam diikat di tiang di dalam sebuah
masjid.
Berdasarkan hadis ini,
nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid
menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan
sahabat membawa masuk ke dalam masjid itu.
Bagaimanapun, ini tidak
bermakna bukan Islam bebas keluar masuk masjid tanpa kawalan. Sebab itu,
lawatan bukan Islam ke masjid perlu dilakukan secara tertib dan sebolehnya di
bawah kawalan atau bimbingan pemandu pelancong.
Tindakan ini bagi menjamin
dan memelihara kesucian masjid. Pengurusan masjid perlu membuat peraturan yang
sesuai seperti dimestikan menutup aurat, tidak membuat bising, menjaga
kebersihan serta menentukan masa agar tidak mengganggu umat Islam menunaikan
ibadah.
Peraturan itu juga
sebenarnya terpakai untuk pelancong yang beragama Islam. Ini memandangkan,
institusi masjid perlu dijadikan contoh dalam pengurusan, peraturan,
kebersihan, saling menghormati dan sebagainya.
Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap
produk pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam
mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui
pelancongan.
No comments:
Post a Comment