Syaitan telah bersumpah akan menyesatkan manusia sehingga ke hari kiamat. Sumpah itu disebabkan syaitan yang diketuai iblis berdendam dengan manusia yang telah dipilih oleh Allah sebagai khalifat di muka bumi.
Sesungguhnya, Allah membuka seluas-luasnya peluang untuk hamba-Nya memperbetulkan kesilapan dan dosa yang telah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak disedari. Setiap dosa yang dilakukan akan menyebabkan kekotaran di dalam diri atau hati.
Maka, untuk membersihkan dosa itu Islam mensyariatkan amalan taubat supaya
insan dapat membersihkan dirinya daripada dosa.
Taubat bererti kembali, iaitu membawa maksud kembalinya seorang hamba kepada Allah daripada segala perbuatan dosa yang dilakukannya.
Oleh itu, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus
dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki ketinggian
Allah.
Taubat boleh dilakukan bila-bila masa tidak kira di mana kita berada. Namun perlu diingatkan bahawa taubat jua ada masa atau hadnya iaitu Allah akan menolak permohonan taubat apabila nyawa telah berada di halkum atau ketika maut telah terlalu hampir.
Sebab itu, kita tidak seharusnya melengah-lengahkan taubat. Sebaik menyedari telah melakukan dosa, tidak kira kecil atau besar, maka perlulah terus bertaubat. Sikap menangguhkan taubat ingin dilakukan apabila usia tua perlu dijauhkan.
Ingatlah, bahawa kita tidak tahu bilakah akan tiba ajal. Banyak kes
kematian berlaku secara tiba-tiba seperti kemalangan jalan raya dan penyakit
berbahaya yang menyebabkan kematian secara tiba-tiba.
Taubat membolehkan manusia memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat dan seterusnya mempertingkat keazaman beristiqamah serta beriltizam melaksanakan ketaatan penuh keikhlasan kepada Allah.
Sehubungan itu, Allah mengampunkan segala dosa dan kesalahan dilakukan hamba-Nya yang hatinya masih beriman kepada-Nya kecuali dosa syirik. Biarpun sebesar mana dosa yang dilakukan, Allah tetap mengampunkan.
Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah azz-Zumar, ayat 53)
Jika ia melibatkan dosa syirik, biarpun tidak diampunkan, tidak pula bermakna peluang untuk memperbaiki diri tertutup langsung. Dosa syirik dihapuskan melalui pengakuan mengesakan Allah atau mengucap dua kalimah syahadat.
Manakala dosa melibatkan sesama manusia, dosa itu perlulah diampunkan oleh orang yang berkenaan.
Sebagai contoh, jika ia berkaitan dosa mengumpat atau fitnah, maka untuk
menghapuskan dosa itu maka hendaklah mendapat kemaafaan daripada orang yang
diumpat atau difitnah itu.
Sebab itu, kita dinasihatkan agar berhati-hati dalam hubungan sesama manusia. Tentulah amat sukar untuk kita memohon kemaafan sesama manusia, tambah lagi ia melibatkan jumlah orang yang terlalu banyak.
Namun begitu, bagi siapa yang menyedari betapa banyak dosa yang telah dilakukan sesama manusia dan merasakan tidak mungkin dapat memohon kemaafan dari setiap individu yang telah dibuat kesalahan, maka tetap bertaubat memohon keampunan terus kepada Allah.
No comments:
Post a Comment