Wednesday, 4 May 2022

UMAT ISLAM DIANUGERAH DUA PERAYAAN

 
Ketibaan 1 Syawal atau dipanggil Aidilfitri dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam, tidak kira kecil, besar, tua, muda, kaya dan miskin. Jika Ramadan dipanggil bulan ibadat, maka 1 Syawal pula hari meraikan kejayaan menunaikan ibadat puasa dan kegembiraan di atas segala nikmat dilimpahi oleh-Nya. 

Allah menjadikan 1 Syawal sebagai hari kesyukuran di atas segala nikmat dan kelebihan yang dilalui sepanjang Ramadan. Bagi memastikan semua bergembira, terutama menikmati juadah hidangan, maka pada 1 Syawal diharamkan berpuasa.

Perkataan Aidilfitri atau lidulfitri berasal dari dua perkataan iaitu ‘aidil’ yang bererti perayaan dan ‘fitri’ bermaksud bersih, suci atau semula jadi. 

Aidilfitri menggambarkan suasana gembira setelah melaksanakan ibadat puasa dan menyucikan diri daripada perkara kotor dan dosa. Allah membersihkan diri setiap orang yang melakukan ibadat puasa dengan ikhlas dan sempurna, seperti mana dia baru dilahirkan.

Sesuai dengan itu, Aidilfitri disambut sebagai hari kebesaran yang diberkati dan dimuliakan. Rasulullah menjelaskan Aidilfitri sebagai hari kegembiraan untuk seluruh umat Islam sebagai menggantikan mana-mana hari kebesaran yang pernah disambut oleh masyarakat Arab Jahiliyah.

Sebelum kedatangan Islam, penduduk Madinah merayakan dua hari raya yang utama iaitu Nainouz dan Mahrajan. Kedua-dua perayaan itu disambut dengan besar-besaran oleh penduduk Madinah sejak berzaman-zaman. Pada peringkat permulaan kedatangan Islam, penduduk Madinah yang telah memeluk Islam juga turut merayakan kedua-dua hari tersebut.  

Mengetahui tentang perayaan tersebut turut dirayakan oleh orang yang telah memeluk Islam, maka Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari raya dengan dua hari raya yang lebih baik dari kedua-duanya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.”

No comments:

Post a Comment