Monday, 6 February 2023

KERAJAAN DITEGAH TETAPKAN HARGA BARANG

  
Akademi Fiqh OIC yang bersidang di Kuwait pada 1-6 Jamadil Awwal 1409H / 10-15 Disember 1988 memutuskan prinsip asas al-Quran dan Sunah adalah setiap individu bebas berjual beli.

Ia berdasarkan prinsip dalam surah an-Nisa ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang salah kecuali dengan jual beli suka sama suka”
 
Diputuskan juga tidak ada had keuntungan atas seseorang peniaga dalam sesuatu transaksi. Secara umumnya bergantung kepada peniaga, industri, konsep perniagaan dan barang jualan. Peniaga juga perlu menitik berat etika perniagaan Islam yang sewajarnya
 
Dalam perniagaan, Islam melarang perbuatan jahat seperti penipuan, pemalsuan, menyorokkan maklumat penting, monopoli dan tindakan yang memberi kesan buruk dalam masyarakat.
 
Kerajaan juga tidak boleh terlibat dalam menetapkan harga sesuatu barang kecuali dalam keadaan tertentu (seperti untuk memecahkan monopoli, kartel perniagaan yang berpakat menaikkan harga).
 
Dalam keadaan tersebut, kerajaan perlu masuk campur untuk menghapuskan perbuatan jahat tersebut.
 
Hadis Anas bin Malik, dia berkata: “Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika zaman Rasulullah SAW. Maka orang ramai pun berkata: “Wahai Rasulullah! Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami.
 
“Jawab Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi sama ada pada darah atau harta”. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani)
 
Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semula jadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.
 
Namun, jika naik turun harga tidak semula jadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak.
 
Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti sorok barang. Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:
 
"Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi SAW) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan". ( Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah) .
 
Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.

No comments:

Post a Comment