Gendang pilihan raya negeri (PRN) sudah
dipalu di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan
Terengganu. Pada 12 Ogos nanti, pengundi-pengundi di enam buah negeri tersebut
akan keluar mengundi buat kali kedua dalam tempoh sembilan bulan.
Persoalan para penganalisis politik ialah
adakah gelombang kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15
(PRU-15) akan melanda sekali lagi. Mampukah PN mengekalkan sokongan majoriti
pengundi-pengundi Melayu di negeri-negeri tersebut? Dalam PRU-15, hanya Negeri
Sembilan sahaja yang tidak terkesan sama sekali dengan gelombang PN.
Harold Wilson, bekas Perdana Menteri
Britain pernah mengungkapkan kata-kata yang terkenal iaitu “seminggu dalam
politik ialah satu tempoh yang lama”. Dengan sifat politik yang sentiasa
dinamik, pelbagai perkara boleh berubah dalam masa seminggu, apatah lagi
sembilan bulan.
Oleh itu, gelombang atau tsunami politik
boleh sahaja surut atau hilang sama sekali. Siapa sangka gelombang kemenangan biru
yang membawa kemenangan bergaya kepada BN dalam PRN Melaka dan Johor boleh
lenyap dalam masa tidak sampai setahun.
Buat pertama kalinya, PH dan BN bermuafakat
untuk menewaskan PN melalui kaedah pakatan pilihan raya. Tujuannya ialah bagi
mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan membolehkan PH dan BN bekerjasama
dalam melakukan kongsi undi.
Pakata pilihan raya adalah sememangnya
strategi asas untuk menang dalam pilihan raya yang menggunakan sistem “first
past the post” seperti di Malaysia. Ia telah terbukti berkesan selama puluhan
tahun, kerana jika tidak sudah tentulah PN tidak akan bersungguh-sungguh
mengajak UMNO untuk bermuafakat satu ketika dahulu.
Sekiranya gerak kerja kongsi undi antara PH
dan BN berjalan dengan baik, amatlah sukar untuk PN mengatasi strategi kongsi
undi tersebut. Ini kerana PN hanya bergantung kepada segmen pengundi Melayu
semata-mata sedangkan PH-BN memiliki sokongan rentas etnik.
Walau bagaimanapun, sudah tentulah tidak mungkin
kesemua seratus peratus pengundi PH dalam PRU-15 lalu akan memindahkan undi kepada
BN dan begitu jugalah sebaliknya.
Bagi negeri Selangor, Pulau Pinang dan
Negeri Sembilan, andainya kadar pemindahan undi dari pengundi PH kepada BN dan
sebaliknya hanya berlegar di sekitar 70% hingga 80%, ianya sudah memadai bagi
memberikan kemenangan selesa kepada PH-BN.
Berdasarkan keputusan PRU-15, PN hanya
kelihatan selamat di negeri-negeri Pantai Timur dan akan menghadapi laluan
sukar di negeri-negeri Pantai Barat yang mempunyai pengundi berbilang kaum.
Dalam PRU-15 yang lalu, andainya undi yang
diperolehi oleh PH dan BN digabungkan, PN sepatutnya kalah teruk di kesemua
sembilan kerusi Parlimen yang dimenanginya di Selangor dan Pulau Pinang.
Peluang PN di Negeri Sembilan adalah jauh
lebih kelam manakala Kedah pula berada dalam kedudukan 50-50, dengan syarat
UMNO dan PH dapat memperkemaskan jentera masing-masing.
Oleh itu, cakap-cakap daripada kepimpinan BERSATU
yang meramalkan kemenangan PN di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan
adalah tidak lebih daripada propaganda dan perang saraf.
BERSATU seolah-olah terdesak untuk
menerajui kerajaan Selangor, iaitu satu-satunya negeri yang agak munasabah
untuk diletakkan pengharapan bagi BERSATU. Jika tidak, BERSATU akan terus
dibayangi oleh PAS yang pada hakikatnya adalah parti paling dominan dalam PN.
No comments:
Post a Comment