Tuesday 29 May 2018

TRADISI TUKAR KELAMBU KAABAH

Al-Kiswah atau kelambu Kaabah baru ditukar setiap tahun menjelang musim haji atau lebih tepat lagi pada 9 Zulhijjah. Tradisi menukar kelambu Kaabah ini telah berlaku sejak zaman sebelum kedatangan Islam. 

Bagaimanapun, sebelum kedatangan Islam, kelambu Kaabah terpakai dan lama tidak dibuang atau ditanggalkan dari Kaabah. Kelambu baru itu akan diletakkan di atas tanpa ditanggalkan yang lama. Jadi, kelambu Kaabah yang lama akan berada di lapisan dalam dalam keadaan berlapis-lapis. Al-Kiswah lama itu dibiarkan buruk dan hancur sendiri.

Keadaan ini membimbangkan sesetengah pihak kerana akan membebankan dan lama kelamaan berkemungkinan meruntuhkan Kaabah. Ketika itu struktur Kaabah tidak sekukuh sekarang.

Akhirnya penguasa Makkah mengambil keputusan agar kelambu itu ditanggalkan dan disimpan di rumah penjaga Kaabah iaitu orang Bani Syaibah.

Sementara ada pula riwayat menyatakan pada permulaan zaman Islam, pemegang anak kunci Kaabah ketika itu, Syaibah bin Othman al-Hujubi bertanya kepada Saidatina Aisyah mengenai Al-Kiswah yang bertimbun-timbun di atas Kaabah sama ada hendak ditanggalkan dan ditanam di satu tempat supaya tidak digunakan oleh orang yang berjunub dan haid.

Aisyah menjawab: "Tidak baik dilakukan demikian, bahkan hendaklah dijualkan dan harganya itu dibelanjakan kepada jalan kebajikan dan disedekahkan kepada fakir miskin."

Ketika pemerintahan Raja Abdul Aziz as-Saud kelambu itu diserahkan semuanya kepada Bani Syaibah dan dijual menurut budi bicaranya sendiri. Jadi, lelongan Kiswah sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam hingga menjadi rebutan.

Tetapi pada awal 1380 Hijrah (1960), Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan perintah menegah jualan kelambu Kaabah bagi menjaga kesucian iktikad dan agama Islam.

No comments:

Post a Comment