Banyak
orang berpendapat berkhatan dilakukan kerana memenuhi tuntutan agama
semata-mata tetapi sebenarnya amalan itu mempunyai beberapa kelebihan termasuk
aspek perubatan.
Berkhatan memastikan kebersihan terjamin kerana kulit yang dibuang adalah perangkap kekotoran dan najis terutama sisa pembuangan air kecil. Jika tidak dibersihkan dengan sempurna, kekotoran akan terperangkap di situ.
Hasilnya, badan kanak-kanak menanggung najis dan sebab itu, sesetengah masjid amat teliti dengan pembahagian kawasan solat bagi orang dewasa dan kanak-kanak terutama bagi mereka yang belum berkhatan.
Rentetan penjagaan kebersihan tidak sempurna, jangkitan kuman mudah berlaku. Bakteria suka kepada suasana sebegini kerana menjadi kawasan sesuai untuk pertumbuhan koloni bakteria.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) menyatakan amalan berkhatan mampu membantu mencegah risiko jangkitan HIV. Phimosis adalah keadaan kulit di hujung kemaluan lelaki tidak dapat ditarik atau tertarik ke belakang ketika ereksi.
Keadaan itu memberikan kesakitan kepada mangsa yang mengalaminya selain potensi gangguan kepada perjalanan air kencing atau fungsi seksual. Ada juga kajian menunjukkan phimosis ialah faktor risiko untuk mendapat barah. Walaupun ada beberapa kaedah lain untuk merawatnya, berkhatan antara cara paling awal dilaksanakan dan berkesan.
Kajian dijalankan di luar negara yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal perubatan antarabangsa melaporkan kulit yang dibuang ketika berkhatan mempunyai potensi pra-malignan iaitu ada kecenderungan untuk menjadi barah.
Membuang kulit itu secara langsung menghilangkan risiko mendapat barah terutama jenis karsinoma sel skuama. Amalan berkhatan disyorkan sebagai langkah pencegahan yang terbukti mengurangkan risiko penyakit berbahaya itu.
Kanak-kanak yang berkhatan rasa diri mereka berbeza daripada kanak-kanak kecil lain kerana berkhatan antara agenda dalam kehidupan menuju ke alam dewasa.
Secara tidak langsung, berkhatan menjadikan mereka lebih berhati-hati dengan tindak-tanduk seharian kerana mereka sekarang dikira sudah besar. Mereka akan mula belajar menerima dan melaksanakan tanggungjawab.
Di samping itu, kanak-kanak yang sudah berkhatan mendapat lesen untuk solat di saf depan. Ini memberikan mereka peluang untuk bergaul dengan orang lebih dewasa dan berusia daripada mereka.
Pendedahan itu akan mendidik mereka cara berkomunikasi dengan golongan lebih berpengalaman dalam hidup serta mendapat nasihat berguna. Ibadah berkhatan memang dipakejkan dengan pelbagai hikmah serta keistimewaan.
Amalan itu sekarang menjadi sebahagian daripada kaedah yang disyorkan baik dalam perubatan pencegahan, rawatan penyakit atau pun menangani komplikasi.
Berkhatan bukan sekadar memenuhi tuntutan agama dan membuktikan ketaatan sebagai hamba, ia juga memberi keyakinan tiada suatu pun yang dicipta Allah dengan sia-sia kerana ada kalanya akal kita tidak terdedah kepada maklumat di luar skop kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment