Salah
satu cara penetapan hukum dalam Islam ialah melalui kaedah al-masalih al-mursalah.
Istilah al-masalih al-mursalah didefinisikan
oleh para ulama sebagai kepentingan yang tiada keterangan nas secara langsung
sama ada memperakui atau menolaknya.
Dengan kata lain,
pemimpin perlu melakukan satu keputusan untuk menyelesaikan keperluan rakyat
sama ada untuk mendapat kebaikan atau mengelak daripada berlaku perkara buruk.
Mengikut kaedah fiqah,
tindakan pemimpin atau kerajaan tertakluk kepada masalah rakyat. Kaedah inilah
menjadi asas kepada penggunaan al-maslih dan al-mursalah. Memang diakui bahawa
hal-hal yang diputuskan berdasarkan kaedah ini tidak terdapat di dalam al-Quran
dan al-hadis.
Namun, bagi kebanyakan
ulama berpendapat bahawa mengutamakan kepentingan masyarakat merupakan satu
keperluan yang boleh dijadikan dalil hukum.
Namun, hukum itu terbatal
jika sekiranya telah ada sesuatu hukum yang jelas telah ditetapkan atau telah
nyata perbuatan itu diharamkan.
Berdasarkan kaedah fikah,
apabila tidak terdapat dalil dari nas, ijmak, kias atau istihsan untuk
menyelesaikan sesuatu isu kepentingan rakyat, maka kepentingan umum boleh
dijadikan pegangan hukum.
Dalam hal ini, penentuan hukum sama ada bertujuan untuk mendapatkan kebaikan
atau menghalang sesuatu kemudaratan berlaku atau kedua-duanya sekali adalah
untuk kepentingan hidup manusia di dunia dan akhirat.
Kaedah ini digunakan pakai
sepanjang masa kerana keperluannya sentiasa berubah-ubah dan mengikut keadaan
semasa. Sesungguhnya kaedah ini bukan perkara baharu, tetapi telah berlaku pada
zaman Khalifah Rasyidin lagi.
Contohnya apa yang
dilakukan oleh Uthman Ibn Affan yang telah mengeluarkan fatwa mengenakan zakat
terhadap ternakan kuda. Perkara ini bertentangan dengan apa yang diamalkan pada
zaman Rasulullah SAW.
Hujah yang dikemukakan oleh Uthman dalam mengenakan zakat terhadap kuda ialah
kerana pada zamannya jumlah kuda telah banyak sehingga dijadikan barang
dangangan, berbanding pada zaman Rasulullah SAW yang ketika itu amat diperlukan
untuk tujuan digunakan semasa peperangan.
Tindakan Uthman itu dikira
termasuk di dalam al-masalih al-mursalah kerana ia tidak bersumberkan kepada
mana-mana nas yang khusus. Perlu dijelaskan bahawa zakat kuda tidak disebutkan
dalam mana-mana nas.
Hal yang sama sebenarnya
menjadi asas kepada kerajaan mengadakan perlbagai peraturan, undang-undang atau
hukum yang berkaitan kepada kepentingan umum seperti mengadakan penjara, pusat
pemulihan dadah, peraturan lalu lintas, soal kewarganegaraan, berkaitan
muamalat, keselamatan negara dan macam-macam perkara lain yang pada dasarnya
tidak wujud atau diamalkan pada zaman Rasulullah SAW dan tidak juga dinyatakan
dalam mana-mana nas, termasuk al-Quran.
Gambar hiasan: Pantai Kundur, Kota Bharu,
No comments:
Post a Comment