Tuesday 5 October 2021

MASALAH DISIPLIN PELAJAR

 
Masalah disiplin pelajar kini mencapai tahap serius. Tahap perlakuan kini termasuk dalam jenayah, termasuk jenayah berat.

Justeru, Kementerian Pelajaran perlu mengambil langkah proaktif, konfrehensif dan tepat untuk mengatasi masalah tersebut agar tidak berterusan mencemarkan imej pendidikan negara.

Jatuhnya sesuatu bangsa bermula rosaknya moral golongan pelajar dan remaja. Pelajar bakal menjadi pemimpin masa depan. Mereka adalah aset negara yang menjadi modal insan membangunkan negara.

Jika mereka bermasalah, maka keadaan negara pada masa depan juga menghadapi masalah. Permulaan membangun negara ialah melalui tertegapnya sahsiah pelajar.

Jika dulu, masalah disiplin belajar berlegar masalah perbuatan nakal, ponteng sekolah, lepak dan merokok, tetapi kini telah mencapai tahap membimbangkan.  

Ada pelajar terlibat dalam kes pembunuhan, pengedaran dadah, curi, merogol, kongsi gelap dan sebagainya. 

Masalah ini berlarutan walaupun sudah memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun institut pengajian tinggi swasta (IPTS). 

Kita sering digemparkan dengan berita mahasiswa terlibat dalam kancah seks, jadi pelacur sambilan untuk berseronok, teribat dalam demostrasi, pengedaran dadah dan sebagainya.

Perlakuan itu tidak sepatutnya berlaku kerana mereka tergolong dalam kelompok bijak dan mempunyai masa depan yang cerah. 

Namun, disebabkan kelemahan dan kecacatan sejak peringkat sekolah lagi, perkara ini berterusan hinggga ke pusat pengajian tinggi.

Tentu sekali perbuatan ini juga berlanjutan hingga di alam kerjaya dan kehidupan seharian apabila dewasa. Fenomina inilah yang amat merungsingkan semua pihak. 

Pihak Kementerian Pelajaran telah lama mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Namun, jalan penyelesaian masih tidak tercapai, malah semakin terus dan kronik.

Antara yang telah lama dibincangkan dan dicadangkan ialah agar Kementerian Pelajaran memberi lebih kuasa kepada sekolah untuk mengawal disiplin pelajar.

Guru dan pihak sekolah yang menjadi arkitek pelajar seakan-akan sekadar diberi kuasa untuk mengajar dan bukan kepada hal-hal lain terhadap pelajar. 

Perkembangan tidak sihat ini bukan saja tanggungjawab Kementerian Pelajaran semata-mata, sebaliknya semua pihak perlu mengambil peranan untuk mengawal disiplin pelajar, terutama ibu bapa dan keluarga.

Budaya buli sama ada buli melalui siber atau buli fizikal tidak boleh dipandang ringan kerana ia merosakkan pelajar.

Pelajar nakal merupakan perkara biasa tetapi apabila berlaku kejadian buli atau pergaduhan berkumpulan dan satu kumpulan memukul seorang pelajar ia merupakan kes serius. Kes buli telah mengakibatkan kecederaan serius dan kematian. Pelajar senior bertindak ala-ganster terhadap pelajar baru. 

Masalah disiplin dicetuskan oleh banyak pelajar yang banyak menghabiskan masa melayari Internet, mengakses bahan tidak bertapis seperti lucah dan main permainan video. Pengaruh filem dan drama yang disiarkan di televisyen turut mempengaruhi sikap pelajar.  

Perkembangan ini mulai menjadi budaya dan akhirnya pelajar yang dihasilkan tidak berkualiti serta tidak mahir untuk menjadi warganegara cemerlang. Kita tidak mahu sekolah dipenuhi pelajar bermasalah dan mencacatkan perancangan melahirkan generasi harapan masa depan.

Gambar Pantai Nusuk, Kampung Tanjung Kuala Sabak tiada kaitan dengan tulisan. Sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment