Tuesday 3 November 2020

MENERIMA TAKDIR TANDA BERIMAN QADAK, QADAR

Beriman kepada takdir adalah tuntutan asas yang merupakan rukun iman keenam iaitu beriman kepada qadak dan qadar. Qadak dan qadar adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Qadak ialah kehendak Allah terhadap sesuatu pada azali yang bersesuaian dengannya serta tidak akan berubah pada masa akan datang. Manakala takrif bagi qadar pula ialah mewujudkan sesuatu oleh Allah sesuai dengan ketentuan yang khusus dan cara yang tertentu yang dikehendaki Allah.

Dengan kata lain, qadak ialah ketentuan daripada Allah dan qadar ialah pelaksanaan bagi ketentuan tersebut.

Lanjutan itu, ulama mengatakan tidak terhasil suatu pun daripada alam ini melainkan daripada iradah (ketetapan) dan qudrah (kekuasaan) Allah.

Kita perlu imani bahawa sama ada perkara baik atau buruk itu adalah hasil daripada kehendak Allah. Kita mesti beriman dengan qadak baik ataupun buruk, nikmat atau musibah.

Sabda Nabi bermaksud: "Bahawa (mesti) beriman kepada qadar-Nya yang baik atau yang buruk." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Amat mudah bagi sebahagian daripada kita untuk reda dengan qadak yang baik seperti nikmat harta, anak, kesenangan dan ketenangan. Namun, tidak ramai yang mampu reda kepada qadak yang buruk sedangkan ia datang daripada Tuhan sama yang memberikan nikmat pada kita.

Sesungguhnya, ujian yang diturunkan kepada kita bukan untuk menyusahkan kita, tetapi ada hikmah di sebaliknya yang kita akan ketahui selepas menempuhinya dengan sabar dan penuh kebergantungan kepada Allah.

Firman Allah SWT maksudnya:  "Tiada yang menimpa daripada mudarat musibah melainkan dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia membimbing hatinya. Dan Allah itu berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Taghabun, ayat 11)

Sebagai hamba, kita sentiasa akan berurusan dengan takdir daripada Allah sama ada ia disukai atau tidak digemari. Oleh itu, amat penting untuk kita menjaga sikap kita dalam berinteraksi dengan takdir Allah kerana risau secara tidak sedar kita mempertikai qadak dan qadar yang menjadi rukun iman orang Islam.

Disebabkan itu, kita dituntut untuk syukur atas segala nikmat yang dilimpahkan dan bersabar atas segala musibah yang mendatang.

Seorang Mukmin yang berjaya mengawal nafsunya dalam berinteraksi dengan qadak Allah maka ia dipuji oleh Nabi kerana ia merupakan suatu sifat yang terpuji.

Nabi bersabda bermaksud: "Sungguh hebat urusan orang Mukmin kerana semua hal baik baginya. Hal ini tidak berlaku melainkan bagi orang Mukmin sahaja. Sekiranya terjadi perkara yang bergembira baginya maka ia bersyukur dan itu baik untuknya dan sekiranya ditimpakan musibah, maka ia bersabar dan ia baik untuknya." (Hadis riwayat Muslim)


No comments:

Post a Comment