Tuesday 9 November 2021

UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM

 
Apabila ditanya apa itu undang-undang jenayah Islam, banyak di kalangan kita akan menjawab hudud. Ada juga yang menjawab tentang hukuman potong tangan, rejam sampai mati dan sebagainya.

Ini bermaksud, masih banyak lagi yang belum faham apa yang dimaksudkan dengan undang-undang jenayah Islam.

Sistem hukuman dalam undang-undang jenayah Islam boleh dibahagikan kepada tiga jenis.

Pertama, hukuman berdasarkan kepada jenis iaitu hukuman hudud, hukuman qisas ataupun diyat dan akhir sekali hukuman takzir.

Kedua pula hukuman berdasarkan kepada niat seseorang iaitu perbuatan jenayah yang disusuli dengan niat jahat dan perbuatan yang tiada niat ataupun dengan kata lain dengan tidak sengaja.

Sudah tentu hukumannya lebih berat dikenakan ke atas pesalah yang mempunyai niat jahat jika dibandingkan dengan perbuatan tanpa niat atau tidak sengaja.

Manakala yang terakhir ialah perbuatan jenayah mengikut jenis hak yang telah dicabuli sama ada hak Allah, hak manusia atau hak masyarakat.

Jenayah hudud dan qisas merupakan jenayah yang mana hukumannya telah ditetapkan oleh Allah. Ketetapan hukuman ini ada disebutkan dalam al-Quran dan juga Sunnah Rasulullah SAW.

Jenayah hudud ini ada yang melibatkan hak Allah seperti jenayah minum arak ataupun hak manusia seperti jenayah mencuri.

Manakala jenayah membunuh dengan sengaja yang boleh membawa kepada hukuman qisas ataupun mati adalah satu contoh jenayah yang melanggar kedua-dua hak; iaitu hak Allah dan hak manusia.

Gambar: Masjid Diraja Long Yunus, Mukim Langgar. Sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment