Sunday 18 September 2022

SUBURKAN SIKAP BAIK SANGKA

 
Kita tidak mungkin menjadi seorang yang sempurna. Tetapi kita boleh berusaha untuk menjadi lebih baik. Kalau tidak mampu berubah banyak, sudah cukup baik jika lebih baik daripada sebelumnya.

Antara perkara baik perlu dilakukan ialah menjauhkan perasaan buruk sangka. Buruk sangka ialah ada sangkaan buruk terhadap orang lain, sedangkan kita tidak tahu perkara sebenar.

Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Suarah al-Hujurat, ayat 12).

Maka, kita perlu menghindarkan sikap buruk sangka, sebaliknya menyuburkan sikap baik sangka.

Berbaik sangka sangat dituntut dalam Islam kerana boleh mengelakkan daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan.

Manusia yang bersangka buruk seolah-olah memfitnah orang kerana sifat itu tidak mempunyai bukti nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadi fitnah yang membawa kepada dosa besar.

Berbaik sangka mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan. Antaranya supaya hubungan persahabatan serta persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas daripada sangka buruk, maka yang ada dalam hati adalah sangkaan yang baik-baik saja.

Berbaik sangka terhadap sesama makhluk lebih mulia daripada bersangka buruk yang boleh mendatangkan dosa. Namun, perlu diingat sangka baik perlu diimbangi sikap berhati-hati.

Seperti mana perlunya berbaik sangka, begitulah juga kita perlu berhati-hati agar sifat baik itu tidak dieksploitasi musuh atau orang berkepentingan. Jangan sampai kita dilihat terlalu naif shingga diambil kesempatan oleh pihak lain.

No comments:

Post a Comment