Friday, 27 August 2021

Beza perdana menteri dari UMNO

Sejurus dari pengumuman kabinet oleh Perdana Menteri tadi, kita boleh lihat pelbagai pandangan yang neutral dari rakyat yang mengharapkan perlantikan kali ini boleh membantu negara dan rakyat keluar dari krisis ekonomi dan pandemik secepat mungkin.

Ada juga komen dan pandangan berbentuk serangan menyuarakan ketidakpuasan hati. Ini semua lumrah. Apa yang kita harus faham ialah kekecewaan sesetengah pihak itu pasti ada rasional dan sebabnya dan kita menghormatinya.

Kedudukan seorang perdana menteri ketika dan waktu ini amat sukar walau siapapun yang berada pada kerusi itu. Ini kerana kerajaan yang tertubuh dari 114 sokongan ahli parlimen itu datangnya dari beberapa parti. Ianya berbeza zaman BN memerintah dahulu. Ianya juga berbeza ketika TSMY memerintah seketika sebelum ini.

Perdana Menteri merupakan seorang yang berorientasikan pencapaian. Beliau seorang pentadbir yang melihat kepada result dan keputusan. Beliau seorang yang amat kuat bekerja dan pastinya beliau mahukan seluruh kabinet beliau juga melakukan perkara yang sama untuk rakyat dan negara.

Saya membaca beberapa pandangan dari rakan-rakan yang memberikan respon segera kepada pengumuman tadi. Meluahkan kerisauan dari sudut2 tertentu. Kita faham dan menerima pandangan itu. Tetapi dengan pilihan yang ada ini, ianya  tidak memberikan ruang yang luas untuk seorang Perdana Menteri membentuk sebuah pasukan yang boleh memenuhi kehendak semua pihak. Pertimbangan harus diperhalusi dan dinilai untuk mengurangkan risiko segala kemungkinan. 

Apa yang pasti ialah Perdana Menteri YAB Dato Sri Ismail Sabri merupakan wakil dan pembawa mandat UMNO dalam kerajaan hari ini. Jika dulunya TSMY yang mungkin membawa prinsip dan ideologi parti PPBM tetapi hari ini DSIS akan membawa prinsip rakyat yang perlu diutamakan dan permasalahan rakyat wajib diberikan keutamaan.

Jangan kita terlalu awal membuat andaian itu dan ini sebelum kita sendiri melihat kesan dan manfaat dari pembentukan kabinet kali ini. Berikan ruang dan peluang kepada mereka untuk buktikan kerja buat mereka. 100 hari nanti kita sebagai rakyat boleh menilai dan jika ada yang tidak mencapai kehendak dan pencapaian prestasinya ternyata gagal maka masa tu kita minta untuk PM membuat rombakan dan melantik orang yang baru yang boleh menyelesaikan masalah rakyat.

Ini bukan kabinet untuk mana-mana parti politik tetapi kabinet untuk membantu rakyat dan bekerja kepada rakyat. Jika perdana menteri seorang yang kuat bekerja maka menteri-menteri juga harus kuat bekerja dan buat kerja untuk rakyat.

#KeluargaMalaysia
AZMAN KAHIRUDDIN
Pensyarah Muda

No comments:

Post a Comment