Wednesday, 25 August 2021

Paradigma politik perdana menteri

Paradigma boleh dimaksudkan dengan loncatan pemikiran atau corak pemikiran baharu. Satu corak perubahan pemikiran dari kebiasaan kepada suatu pembaharuan ketara.

Gempar dan menjadi perhatian semua media dan warga maya berkaitan satu pertemuan antara Perdana Menteri YAB DATO SRI ISMAIL SABRI YAAKOB dengan kepimpinan pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Presiden AMANAH, Mat Sabu dan Setiusaha DAP Lim Guan Eng.

Pelbagai naratif yang cuba dimainkan dari pertemuan tersebut. Paling menarik ialah naratif yang kita tahu dari mana tercetusnya satu respon pantas yang sengaja untuk menimbulkan kekeliruan dan mendakwa "Jajaran Baharu" sedang diusahakan.

Perdana Menteri bertemu seorang Ketua Pembangkang merupakan satu situasi yang susah untuk kita lihat. Sukar untuk kita catitkan dalam sejarah pertemuan sebegini.

Maka inilah paradigma yang telah berlaku dalam politik negara kita yang telah dibuktikan secara nyata istilah "Merentasi Sempadan Politik". Politik baharu ini semata untuk kepentingan rakyat dan negara.

Demi menangani Covid19 dan usaha mencari titik temu dalam merencana kestabilan politik sepertimana titah YDPA. Suhu politik berjaya diturunkan. Semua parti politik boleh duduk bersama dalam satu tujuan iaitu kepentingan rakyat dan negara.

Hakikatnya bukan semua pemimpin mampu berlapang dada dan sanggup mengetepikan perbedaan ideologi politik tetapi Perdana Menteri telah berjaya menunaikan apa yang diucapkan dalam ucapan sulong beliau sebagai Perdana Menteri.

Antara catitan ulama ulung Indonesia Haji Abdul Malik Karim Amrullah dikenali dengan nama Buya Hamka pada tahun sekitar 1939 dalam sebuah buku bertajuk "Tuan Direktur" jelas menyatakan "Antara satu kebijakan (Rangkaian konsep dan asas yang menjadi pedoman dan dasar rencana dalam pelaksanaan suatu pekerjaan,kepimpinan dan cara bertindak) seorang pemimpin ialah kemampuannya menyatukan puak-puak berbalah. 

Dengan kata lain, antara kehebatan seorang pemimpin sebenar ialah mampu dan bisa menyatukan kumpulan-kumpulan yang bersengketa untuk satu tujuan dan matlamat.

Alhamdulillah, setelah rakyat dan negara melalui saat-saat getir dan sukar sepanjang pandemik kesihatan dan krisis politik berterusan selepas PRU14 yang dilihat tiada penghujungnya, hari ini rakyat Malaysia dianugerahkan seorang Perdana Menteri yang ada ciri-ciri sepertimana catitan Buya Hamka dalam karyanya.

Dengan kejayaan awal ini, saya cukup yakin bahawa rakyat dan seluruh kepimpinan parti-parti politik akan menyambut baik keterbukaan YAB Perdana Menteri dalam merencanakan dan mencorakkan satu lanskap politik baharu demi rakyat.

Saya juga yakin akan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada YAB Perdana Menteri akan bertambah dari masa ke masa.

Keluarga Malaysia memberikan kepercayaan kepada YAB Perdana Menteri dan akan bersama menyokong usaha membawa negara keluar dari pandemik dan krisis politik yang meresahkan sebelum ini. Insya-Allah.

#KeluargaMalaysia

No comments:

Post a Comment