Thursday 25 August 2022

Cikgu Wan Rahim - ambo ore Kampung Sungai Keladi

 
Wan Abdul Rahim bin Wan Abdullah adalah antara tokoh politik yang cukup terkenal di Kelantan. Beliau yang lebih mesra dipanggil Cikgu Wan Rahim pernah menjawat jawatan Speaker DUN Kelantan dari 1995 hingga 2008. Bermula 1995 hingga 2004 beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Mas. Beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu bagi tempoh 2008-2013. Beliau dilahirkan pada 24 Febuari 1952.
 
Baca tulisan beliau di akaun Facebooknya yang bertajuk Siri 1 Ambo Ore Kapong: Sg Keladi KB 1952 – 2022 yang dikirimkan pada 12 Ogos 2022
 
Dipilih menjadi Wakil Rakyat DUN Tanjung Mas pada PRU 1995 pada usia 43 tahun, ambo berusaha sedaya upaya memikul tanggungjawab menjaga rakyat meliputi Daerah Mengundi Sungai Keladi, Tanjung Chat, Wakaf Mek Zainab, Kok Pasir, Tanjung Mas, Paya Bemban, Bayam, Langgar, Telok dan Belukar.
 
DUN Tanjung Mas diwujudkan hasil Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya 1994 melibatkan Daerah Mengundi daripada DUN Banggol, DUN Kemumin, DUN Semut Api, DUN Lundang dan DUN Bunut Payong.
 
Sahabat ambo Hj Nik Arif Nik Abdullah menjadi Pegawai Pilihan Raya Negeri Kelantan dan Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menngetuai Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada waktu itu.
 
Satu malam, hampir jam 3 pagi, ambo dikejutkan deringan telefon.
“Hello..”
“Hello..guana Min?”
“Ore tino sakit perut, Cikgu..”
“Pastu?”
“Nak minta Cikgu bawa ke hospital..rasanya sampai masa nak beranak doh..”
“OK Min..”
 
Ambo maklumkan kepada Kak Jah (isteri) kena ke rumah Amin @ Md Zain Yusoff yang menyewa rumah Tok Imam Wan Hassan Tanjung Chat, alik hilir kapong ambo Sg Keladi.
 
Turun, hidupkan enjin kereta dan sampai ke rumahnya dalam jangka waktu 5 minit saja.
 
Amin papah isterinya turun dari rumah dan naik ke kereta ambo; terus memandu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.
 
Esoknya, isteri Amin melahirkan seorang puteri.
 
Pada masa itu, usia masih muda, tubuh segar, semangat tinggi dan minat membantu rakyat menjadi keutamaan. Amin tak tanya langsung sama ada ambo boleh atau tidak tolong hantarkan isterinya yang mengandung ke hospital.
 
Dia telefon dan menganggap bahawa menjadi tugas Wakil Rakyat membantunya masa kecemasan begitu. Begitulah tingginya pengharapan (expectation) rakyat kepada ADUN dan MP di Kelantan sejak dulu.
 
Kebetulan Amin adalah penjaga gol pasukan bolasepak ambo, Kelab Sukan Sungai Keladi (KSSK) yang pernah menjadi Johan Division 4 KAFA 1976, ambo anggap beliau sebagai anggota keluarga sendiri. Tambahan pula, ayahnya Pak Soh dan ibunya Mak Minah berjiran dengan Bonda ambo Che Jah dan Ayahanda Wan Abdullah. Semoga mereka semuanya ditempatkan bersama para syuhada’ dan solihin.
 
Terdapat 2 perkara ambo nak sampaikan di sini:
1. Bila usia sudah tua seperti ambo 70 tahun ni, tak payahlah berangan-angan nak bertanding Pilihan Raya. Orang Pattani kata, tak rok dok. Kita tak akan mampu menggalas tugas memikul amanah sebagai Wakil Rakyat. Berilah peluang kepada adik-adik yang kita bina selama ini untuk tugasan bertanding PRU 15 nanti.
2. Ambo menjadi ADUN Tanjung Mas untuk 2 penggal saja 1995/99 dan 1999/04, kemudian minta ATGNA mencalonkan Kak Ani pula kerana pada waktu itu, tidak ada langsung YB Muslimat PAS di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat.
 
Nasihat ambo, Ahli-Ahli YB yang telah banyak penggal berkhidmat, berilah peluang kepada adik-adik yang telah sekian lama berkorban segala-galanya demi kejayaan kita.
 
Jangan pula ada YB 3 penggal nak cukupkan 4 dan jangan ada YB 4 penggal nak cukupkan 5. Ambo sedang memerhatikan sahabat-sahabat yang telah menjadi Wakil Rakyat sejak PRU 1995, maknanya sudah 6 penggal. Takkanlah YB nak cukupkan menjadi 7 penggal???

No comments:

Post a Comment