Tuesday 29 November 2022

PEMIMPIN GAGAL PERLU LETAK JAWATAN

Dilantik menjadi pemimpin bukan satu keistimewan, sebaliknya ia satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan. Maka, jika gagal melaksanakan peranan yang sepatutnya, adalah wajar pemimpin berkenaan meletakkan jawatan untuk membolehkan individu lain mengambil alih jawatan atau tugas sebagai pemimpin.
 
Dalam politik, persatuan atau pertubuhan, pemimpin yang gagal sering didesak oleh ahli agar melepaskan jawatan. Ya, itu sememangnya wajar dilakukan oleh pemimpin.
 
Persoalannya, mengapa hanya pemimpin tertinggi yang didesak melepaskan jawatan? Sedangkan kepimpinan terlibat dalam semua peringkat.
 
Ambil contoh pilihan raya umum yang melibatkan semua kerusi di seluruh negara atau sebanyak 222 kerusi. Parti yang bertanding tentu ada menang dan kalah. PRU15 tidak ada parti yang benar-benar ‘kuat’ menang majoriti. Dengan kata lain, semua parti boleh dianggap ‘menang’ dan ‘kalah’.
 
Tetapi, ada parti dilabelkan kalah teruk dan ahli akar umbi mendesak agar pemimpin tertinggi meletakkan jawatan. Hakikatnya, parti itu bukan kalah di semua kerusi. Ada juga yang dimenangi.
 
Jadi, kalau ada tempat yang menang dan banyak yang kalah, punca kekalahan itu tidak sepenuhnya berpunca pemimpin tertinggi. Kalau kalau berpunca tindakan pemimpin tertinggi, sudah tentu di semua kerusi ditandingi akan kalah.
 
Sepatutnya, semua pemimpin di pelbagai peringkat bertanggung jawab atas kekalahan di peringkat yang dia menjadi pemimpin. Pemimpin di peringkat negeri, bahagian (kawasan atau cabang), PDM (UDM) dan cawangan (ranting) perlu juga bertanggungjawab.
 
Pemimpin di pelbagai peringkat ada peranan dan tanggunajawab masing-masing. Keupayaan kepimpinan mereka banyak membantu kejayaan parti, dan tentu juga punca kepada kekalahan.
 
Ada kawasan yang pemimpinnya hebat masih mampu menang ketika kebanyakan kawasan lain kalah.
 
Jadi, tidak wajar yang kalah tidak mahu mengakui kelemahan sendiri dan hanya menyalahkan pihak lain.

Sebenarnya banyak pemimpin parti yang berdepan dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan masing-masing. Tetapi, ahli perti berkenaan terus mempertahankan pemimpin mereka. Hasilnya parti mereka mencapai kejayaan lebih baik berbanding sebelumnya.

Namun, ada juga ahli parti yang secara berterusan menyalahkan pemimpin mereka. Lalu dibuat naratif politik untuk menjatuhkan. Yang buat naratif itu adalah di kalangan pemimpin parti itu sendiri dan disambut atau disokong oleh ahli akar umbi. Kalau ahli sendiri tidak yakin kepada pemimpin mereka, bagaimana parti hendak menang banyak kerusi?
 
Bersama-samalah muhasabah diri.

No comments:

Post a Comment