Friday 18 November 2022

PAS tolak amalan ekstrem

 
Sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terdapat ucapan atau ceramah pemimpin PAS yang dianggap ekstrem atau agak lari daripada konsep asal Islam.
 
Justeru, untuk mengelak perkara itu terus berlaku, maka PAS memberi peringatan bahawa mana-mana pemimpin PAS yang keluarkan kenyataan ekstrem akan ditendang.
 
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata tindakan itu diambil berdasarkan konsep dan dasar yang diamalkan parti itu.
 
Katanya, PAS tidak mengamalkan cara yang kasar, sebaliknya menggunakan pendekatan demokrasi aman sejak dahulu lagi.
 
“Kita pantau mereka kerana PAS ada dasar iaitu menerang bukan menyerang….itu konsep yang kita bawa.
 
“(Jadi apabila ada) mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan menyerang kita ‘gam’ (dan) hentikan daripada ceramah,” katanya.
 
Sebelum ini, tular video kempen berdurasi 28 saat mengenai Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, yang mendakwa mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 akan masuk neraka.
 
Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak menyebabkan Mohd Shahiful kemudian membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya itu.
 
Selain itu, klip video berdurasi 44 saat yang dirakam dalam satu program di Kemaman pada 4 November lalu turut tular di media sosial apabila pelakon filem remp-it, Zul Huzaimy mengeluarkan kenyataan mahu menyembelih orang kafir harbi.
 
Pelakon itu kemudian membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya mahu menyembelih orang bukan Islam dalam ceramah itu.
 

No comments:

Post a Comment