Sunday 25 December 2022

Bukan penjimatan luar biasa pengurangan kos projek ECRL

 
Kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur sepanjang 665 kilometer (km) dijimatkan sebanyak RM11.01 bilion hasil beberapa siri rundingan semula kontrak ECRL yang telah dimuktamadkan pada 2019 dan 2022.
 
Dengan kata lain, penjimatan itu bukan hasil serta merta setelah penubuhan Kerajaan Perpaduan. Usaha untuk pengurangan itu telah diusahaan empat tahun lalu dan melalui beberapa siri rundingan.
 
Penjimatan itu juga bukan pengurangan bayaran kepada pemaju berdasarkan kepada kelulusan asal, tetapi melibatkan pengurangan apa yang perlu dibuat oleh pemaju, iaitu persetujuan baharu berdasarkan skop kerja baharu. Contohnya, pengurangan bilangan stesen yang perlu dibina telah banyak mengurangkan kos pembinaan.
 
Pengurangan kos pembinaan melibatkan pelaksanaan Kejuruteraan Nilai yang menyeluruh dan penjajaran semula landasan ECRL pada Seksyen C membabitkan Temerloh-Serendah-Pelabuhan Klang.
 
Untuk makluman, Kos Pembangunan Keseluruhan untuk ECRL 1.0 adalah berjumlah RM85.97 bilion merangkumi kos pembinaan sebanyak RM66.78 bilion dan kos pembangunan lain seperti Faedah Semasa Pembinaan pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan dan perbelanjaan mengurus berjumlah RM19.19 bilion.
 
Sebagai perbandingan, Kos Pembangunan Keseluruhan untuk ECRL 3.0 yang sedang dalam pembinaan kini dianggarkan berjumlah RM74.96 bilion, terdiri daripada kos pembinaan yang jauh lebih rendah iaitu sebanyak RM50.27 bilion.
 
Manakala, kos pembangunan lain seperti Faedah Semasa Pembinaan, pengambilan tanah, pemindahan utiliti serta yuran sambungan dan perbelanjaan mengurus adalah berjumlah RM24.69 bilion.
 
Ia melibatkan iaitu pembinaan rel sepanjang 665km dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, pembinaan 20 stesen, pembinaan Serendah Bypass yang melancarkan pergerakan kargo dari utara serta pemanjangan rel dari Stesen Jalan Kastam ke kedua-dua terminal Westport dan Northport.

No comments:

Post a Comment