Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu,
Kelantan kini diiktiraf sebagai lapangan terbang domestik paling moden dan
cantik di Malaysia. Ini berikutan projek naik taraf fasa pertama LTSIP ialah
projek terbaharu disiapkan kerajaan berbanding lapangan terbang lain yang masih
dalam proses penaiktarafan.
Naik taraf itu memberikan wajah baharu kepada lapangan
terbang ini, sekali gus menyumbang imej yang positif bukan sahaja kepada
Kelantan tetapi juga kepada negara secara keseluruhannya.
LTSIP dilengkapi lebih 20 kaunter penerbangan, kemudahan
parkir bertingkat, laluan khas pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat
terminal, pertambahan ruang parkir pesawat serta sistem operasi tanpa tunai
bagi meningkatkan kecekapan dan keselesaan penumpang.
Lapangan terbang itu dijangka mampu menampung hingga empat
juta penumpang setahun berbanding kapasiti 1.5 juta sebelum ini.
Selain peningkatan kapasiti, terminal turut diperluas
daripada 12,000 kepada 36,000 meter persegi dengan susun atur baharu yang
memisahkan balai berlepas di tingkat atas dan ruang ketibaan di tingkat bawah
bagi mengurangkan kesesakan.
Jumlah parkir pesawat juga ditambah kepada 11 berbanding
lima sebelum ini, manakala ruang letak kenderaan menyediakan kira-kira 1,300
lot berbanding hanya 350 lot sebelum proses naik taraf dilaksanakan.
Projek penaiktarafan dan pembesaran LTSIP membabitkan kos
RM440 juta dan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan bersama Malaysia Airports
Holdings Berhad (MAHB).
Projek itu bukan sahaja penting untuk Kelantan, malah
berpotensi menjadi hab serantau menghubungkan Kelantan dengan Selatan Thailand
serta destinasi lain seperti Singapura, Jakarta dan Bangkok.
Kelantan mempunyai potensi besar dalam bidang ekonomi,
perdagangan dan pelancongan dengan negeri itu tidak sepatutnya terus terpinggir
hanya kerana perbezaan politik.
Perasmian terminal baharu itu telah disempurnakan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim pada 18 April 2026 sempena
lawatan kerja ke negeri tersebut.
Perasmian terminal baharu ini melambangkan iltizam bersama kerajaan
Pusat dan kerajaan Kelantan dalam memperkukuh prasarana, merancakkan ekonomi
serta mempermudah mobiliti rakyat hasil sinergi yang dibina atas kepercayaan
dan tanggungjawab bersama.



No comments:
Post a Comment