Monday 12 October 2020

TIADA ISTILAH BOHONG SUNAT

Bohong atau dalam bahasa Arab disebut al-kazib ialah menyatakan sesuatu keadaan atau perkara yang tidak benar. Bohong juga berkaitan dengan janji yang diniatkan tidak mahu ditunaikan.

Perkataan lain yang hampir sama maksudnya dengan bohong ialah dusta, menipu dan helah. Perbuatan tidak amanah juga termasuk dalam ciri-ciri berbohong, yakni tidak melakukan apa yang sepatutnya.

Perbuatan berbohong amat buruk sekali kesannya kepada kehidupan manusia. Ia merosakkan akhlak dan menghancurkan nilai-nilai murni hubungan manusia sesama manusia. Akibat berbohong boleh mencetuskan pemusuhan dan melakukan tindakan keganasan. 

Manusia hilang pedoman akibat berleluasanya amalan berbohong dan tidak mempercayai antara satu sama lain. Urusan kehidupan seharian menjadi celaru dan sukar dilaksanakan seperti mana yang diharapkan. Akibat keadaan itu banyak kerugian dan kesusahan terpaksa ditanggung.

Sebab itu Islam amat melarang dilakukan perbuatan berbohong. Justeru, berbohong adalah perbuatan terkutut yang dilaknat Allah dan termasuk dosa besar melibatkan lidah. Dosa besar berbohong jelas berdasarkan kepada tarafnya sebagai salah satu ciri orang munafik. 

Munafik bermakna tidak sepenuhnya beriman kepada Allah. Orang munafik mengaku beriman, tetapi tidak dengan sesungguhnya. Mereka melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama dan mempersenda-sendakan hukum agama. Pada mereka, peraturan atau hukum agama hanya dipatuhi jika ia memberi keuntungan duniawi kepada mereka.  

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanda-tanda seseorang munafik itu adalah tiga perkara iaitu apabila berjanji tidak ditunaikan, apabila bercakap dia berdusta dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Manakala itu firman Allah bermaksud: “Bahawa orang-orang yang suka melakukan pembohongan adalah orang tidak beriman kepada Allah, mereka itulah pendusta.” (Surah an-Nahl, ayat 105). 

Jelas sekali, sesiapa berbohong bermakna keimannya masih tidak sempurna biarpun dirinya mengaku beriman kepada Allah. Maka itu, kita boleh menilai sejauh manakah ketaatan seseorang itu kepada Allah berdasarkan sikapnya sama ada suka berbohong atau sebaliknya.  

Sesungguhnya, iman tidak hanya diucapkan di lidah, tetapi terbukti melalui perbuatan. Orang benar-benar beriman akan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang. Sesungguhnya berbohong itu amat ditegah. Sebab itu, orang yang benar-benar beriman tidak akan berbohong.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik maupun dia diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment