Sunday 11 April 2021

AHLI AKAR UMBI UMNO SUDAH CUKUP VAKSIN

Pemberian vaksin lengkap menjadikan individu menjadi kebal kepada penyakit atau sesuatu wabak. Perkara ini juga boleh terjadi kepada mana-mana ahli parti. Dalam istilah biasa digunakan terhadap ahli Pas ialah walaun. Mereka akan setia dan taat kepada parti dan pemimpin biar apapun yang diperkatakan kepada parti dan pemimpin.

Inilah satu keadaan yang mula dialami kebanyakan ahli akar umbi UMNO. Mereka mula menerima vaksin apabila pemimpin dan parti sentiasa sahaja dikenakan dengan pelbagai tindakan oleh pihak pemerintah dan parti lawan.

Macam-macam pertuduhan dan tindakan dikenakan pemimpin UMNO, terutama terhadap bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengambil alih jawatan Presiden UMNO juga tidak kurang dikenakan dengan pelbagai pertuduhan.

Di samping itu, macam-macam tindakan atau usaha dilakukan pihak tertentu untuk mengharamkan UMNO. Membekukan akaun UMNO juga satu usaha untuk melemahkan UMNO.

Hampir tiga tahun setelah hilang kuasa, pemimpin dan ahli akar umbi UMNO telah lali atau kebal dengan sebarang bentuk serangan. Semakin ditekan, lebih kuat lagi jatidiri pemimpin dan ahli akar umbi untuk mempertahankan UMNO.

Jadi, apa sahaja rintangan dan tindakan dikenakan terhadap pemimpin dan ahli akar umbi, mereka tidak mudah melatah.

Pemimpin dan ahli akar umbi UMNO telah mendapat vaksin politik yang membolehkan mereka menghadapi apa juga cabaran mendatang. Semakin banyak cabaran, mereka menjadi lebih hebat dan bersemangat untuk mengembalikan UMNO sebagai pemerintah negara.

No comments:

Post a Comment