Thursday 24 June 2021

APA STRATEGI SEBENAR NAZRI AZIZ KUMPUL SD

Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengakui beliau merupakan perancang utama dalam mengumpul akuan bersumpah (SD) di kalangan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun,dalam laporan eksklusif Sinar Harian, bekas Menteri Pelancongan itu berkata, ia bukan untuk menjadikan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Sebaliknya, tegas Mohamed Nazri, ia adalah bagi memberi mandat kepada Menteri Luar itu untuk menjadi jurucakap kepada kesemua 25 wakil rakyat BN sekiranya dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong.

"Saya boleh sahkan perkara itu kerana saya sendiri yang mengusahakannya sejak dua minggu lalu, setelah kita dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti sekali lagi ke Istana Negara bermula 9 Jun lalu.

"Yang tandatangan SD ini melibatkan 25 Ahli Parlimen BN daripada keseluruhan 41 orang.

"Tujuannya, disebabkan kami sudah hilang keyakinan terhadap ketelusan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili parti sewaktu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Apa yang dilakukan Mohamed Nazri agak pelik. Kalau pun hilang kepercayaan kepada Presiden, dalam susunan kekananan parti, masih ada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kalau atas alasan ia melibatkan Ahli Parlimen BN, Mohamad adalah Timbalan Pengerusi BN. Jawatan Mohamad lebih kanan dalam BN berbanding Hishammuddin yang berstatus bendahari.

Dengan kata lain, jika hilang kepercayaan kepada Pengerusi BN, Timbalan Pengerusi BN perlu diberi kepercayaan. Melainkan, ada agenda lain di sebaliknya. 

 

No comments:

Post a Comment