Tuesday 18 July 2023

Kelebihan BN-PH hadapi PRN

 
Sebelum ini, setiap kali diadakan pilihan raya umum (PRU) ia turut melibatkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Malaysia, kecuali di Sarawak. Namun, pada PRU-15 menampakkan kelainan besar apabila ia hanya melibatkan DUN di tiga negeri sahaja iaitu Perlis, Perak dan Pahang sahaja. Enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan tidak ikut dibubarkan. Sedangkan DUN Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah “baharu” melaksanakan PRN masing-masing.
 
PRN enam negeri bakal berlangsung pada 12 Ogos 2023 nanti secara “amalan” akan memberi kelebihan kepada parti atau gabungan yang memerintah kerajaan Pusat. Dalam kes ini ia adalah gabungan pakatan BN dan PH.
 
PH telah menguasai Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Tiga negeri lagi iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah dikuasai PAS dan dalam konteks sekarang adalah Perikatan Nasional (PN).
 
PH yang bergabung dengan BN untuk masuk gelanggan PRN ini dirasakan tidak sukar untuk mengekalkan kuasa di tiga negari sedia dikuasai PH. Persoalannya, adakah PN juga akan menguasai tiga negeri yang sudah berada di tangan mereka?
 
Kalau beradasarkan kepada keputusan PRU-15, PN tidak berdepan masalah untuk terus kekal di Kelanan, Kedah dan Terengganu.
 
Namun jika berdaarkan kepada Harold Wilson, bekas Perdana Menteri Britain pernah mengungkapkan kata-kata yang terkenal iaitu “seminggu dalam politik ialah satu tempoh yang lama”. Dengan sifat politik yang sentiasa dinamik, pelbagai perkara boleh berubah dalam masa seminggu, apatah lagi sembilan bulan.
 
Kelebihan yang dimiliki PN pada PRU-15 telah banyak berubah. Isu-isu yang digunakan untuk memancing undi ada ketika itu, khususnya serangan terhadap UMNO, seakan-akan tidak mempunyai kekuatan atau daya tarikan kepada PN.
 
Dalam PRU-15 yang lalu, BN dan PN telah bertanding sebagai parti-parti yang berkuasa di Putrajaya manakala PH turun ke gelanggang sebagai pembangkang. Apabila kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO merosot, PAS dan BERSATU yang merupakan parti-parti yang berkuasa dianggap sebagai alternatif kepada UMNO.
 
Perkara ini dipengaruhi oleh psikologi pengundi Melayu yang secara umumnya lebih menghormati dan mempercayai pihak yang berkuasa.
 
Kedudukan PN sebagai sebahagian daripada kerajaan pada waktu itu turut memberikannya kelebihan untuk memperkukuhkan senjata 3M iaitu Money, Media dan Machinery (Wang, Media dan Jentera).
 
Dalam PRN yang akan datang, PH-BN akan memiliki aura, kuasa dan pelbagai kemudahan sebagai peneraju kerajaan pusat manakala PN pula sudah hilang kelebihan sebagai parti pemerintah yang dimilikinya dahulu.
 
Bagi pengundi-pengundi yang pragmatik, mereka pastinya lebih selesa memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan pusat supaya perkembangan politik dan ekonomi akan lebih aman dan lancar.
 
Dalam PRU-15, BN telah diserang dari kiri dan kanan berkenaan isu integriti yang membabitkan skandal 1MDB dan lain-lain kes rasuah. Kempen antirasuah yang pada mulanya dipelopori oleh PH akhirnya memberi keuntungan yang besar kepada PN. Sebahagian penyokong-penyokong UMNO dan pengundi-pengundi atas pagar telah mengalihkan sokongan kepada PN yang dilihat lebih bersih.
 
Pada hari ini, persepsi yang dibina tentang kebersihan dan kemurnian PN sudah tidak lagi boleh dipertahankan sebagaimana pada PRU-15. Ini berikutan beberapa pendakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atas Muhyiddin Yassin, Wan Saiful Wan Jan dan beberapa orang lagi pemimpin-pemimpin BERSATU, ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.
 
Kini status istimewa sebagai ‘kluster mahkamah’ bukan lagi terbatas kepada tokoh-tokoh BN tetapi sudah merangkumi Muhyiddin Yassin dan lain-lain pemimpin PN.
 
PAS sebagai parti yang menjuarai naratif moral dan agama turut tidak terlepas daripada isu integriti. Warga maya menjadi kecoh apabila tular video yang menunjukkan beberapa orang pengundi di Kelantan diminta bersumpah untuk mengundi PAS sebelum diberikan wang.
 
Pada 27 Jun yang lalu, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan yang amalan membeli undi terbukti wujud dalam kempen PAS sehingga membatalkan kemenangan Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Kuala Terengganu.
 
Dalam PRN nanti, PN akan menghadapi kesukaran untuk meyakinkan pengundi-pengundi yang mereka adalah lebih bersih daripada PH dan BN.
 
Dalam sesuatu PRN fokus perbincangan lebih tertumpu kepada kerajaan negeri, bukannya kerajaan pusat. Oleh itu, perkara-perkara berkenaan prestasi kerajaan negeri, isu pembangunan yang perlahan, isu tanah dan masalah bekalan air, isu pembalakan, isu perlaksanaan undang-undang Islam, isu prestasi pihak berkuasa tempatan, dan lain-lain perkara yang berada dalam bidangkuasa kerajaan negeri seharusnya diketengahkan untuk pertimbangan pengundi.
 
Pemimpin-pemimpin kerajaan negeri daripada PAS seringkali menyalahkan kerajaan pusat apabila mereka gagal melaksanakan apa yang telah dijanjikan. Kali ini alasan-alasan sedemikian sukar diterima oleh rakyat kerana PAS adalah sebahagian daripada kerajaan pusat selama hampir tiga tahun.
 
Dalam tempoh itu, PAS gagal untuk menghapuskan segala halangan bagi melaksanakan apa-apa agendanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dalam PRN ini, isu-isu kerajaan negeri sepatutnya diangkat sebagai fokus utama bagi membenamkan isu-isu yang menunggang sentimen kaum dan agama.

No comments:

Post a Comment