Tuesday 18 July 2023

KAEDAH PAKATAN BERI KELEBIHAN KEPADA BN PH

 
Gendang pilihan raya negeri (PRN) sudah dipalu di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Pada 12 Ogos nanti, pengundi-pengundi di enam buah negeri tersebut akan keluar mengundi buat kali kedua dalam tempoh sembilan bulan.
 
Persoalan para penganalisis politik ialah adakah gelombang kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan melanda sekali lagi. Mampukah PN mengekalkan sokongan majoriti pengundi-pengundi Melayu di negeri-negeri tersebut? Dalam PRU-15, hanya Negeri Sembilan sahaja yang tidak terkesan sama sekali dengan gelombang PN.
 
Harold Wilson, bekas Perdana Menteri Britain pernah mengungkapkan kata-kata yang terkenal iaitu “seminggu dalam politik ialah satu tempoh yang lama”. Dengan sifat politik yang sentiasa dinamik, pelbagai perkara boleh berubah dalam masa seminggu, apatah lagi sembilan bulan.
 
Oleh itu, gelombang atau tsunami politik boleh sahaja surut atau hilang sama sekali. Siapa sangka gelombang kemenangan biru yang membawa kemenangan bergaya kepada BN dalam PRN Melaka dan Johor boleh lenyap dalam masa tidak sampai setahun.
 
Buat pertama kalinya, PH dan BN bermuafakat untuk menewaskan PN melalui kaedah pakatan pilihan raya. Tujuannya ialah bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan membolehkan PH dan BN bekerjasama dalam melakukan kongsi undi.
 
Pakata pilihan raya adalah sememangnya strategi asas untuk menang dalam pilihan raya yang menggunakan sistem “first past the post” seperti di Malaysia. Ia telah terbukti berkesan selama puluhan tahun, kerana jika tidak sudah tentulah PN tidak akan bersungguh-sungguh mengajak UMNO untuk bermuafakat satu ketika dahulu.
 
Sekiranya gerak kerja kongsi undi antara PH dan BN berjalan dengan baik, amatlah sukar untuk PN mengatasi strategi kongsi undi tersebut. Ini kerana PN hanya bergantung kepada segmen pengundi Melayu semata-mata sedangkan PH-BN memiliki sokongan rentas etnik.
 
Walau bagaimanapun, sudah tentulah tidak mungkin kesemua seratus peratus pengundi PH dalam PRU-15 lalu akan memindahkan undi kepada BN dan begitu jugalah sebaliknya.
 
Bagi negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, andainya kadar pemindahan undi dari pengundi PH kepada BN dan sebaliknya hanya berlegar di sekitar 70% hingga 80%, ianya sudah memadai bagi memberikan kemenangan selesa kepada PH-BN.
 
Berdasarkan keputusan PRU-15, PN hanya kelihatan selamat di negeri-negeri Pantai Timur dan akan menghadapi laluan sukar di negeri-negeri Pantai Barat yang mempunyai pengundi berbilang kaum.
 
Dalam PRU-15 yang lalu, andainya undi yang diperolehi oleh PH dan BN digabungkan, PN sepatutnya kalah teruk di kesemua sembilan kerusi Parlimen yang dimenanginya di Selangor dan Pulau Pinang.  
 
Peluang PN di Negeri Sembilan adalah jauh lebih kelam manakala Kedah pula berada dalam kedudukan 50-50, dengan syarat UMNO dan PH dapat memperkemaskan jentera masing-masing.
 
Oleh itu, cakap-cakap daripada kepimpinan BERSATU yang meramalkan kemenangan PN di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan adalah tidak lebih daripada propaganda dan perang saraf.
 
BERSATU seolah-olah terdesak untuk menerajui kerajaan Selangor, iaitu satu-satunya negeri yang agak munasabah untuk diletakkan pengharapan bagi BERSATU. Jika tidak, BERSATU akan terus dibayangi oleh PAS yang pada hakikatnya adalah parti paling dominan dalam PN.

No comments:

Post a Comment