Kerajaan
gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk melucut hak
wang tunai yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dan UMNO berjumlah RM114 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu
Holdings Sdn. Bhd. tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon dalam pelucuthakan kes itu.
Bagaimanapun status quo wang itu masih menjadi tanda tanya apabila pada prosiding hari ini kerana hakim itu tidak membuat sebarang perintah sama ada wang itu dikembalikan kepada pemilik atau disimpan oleh kerajaan.
Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang yang dirampas itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.
Pegawai penyiasat dalam kes ini juga gagal membuktikan wang yang diperoleh berasal dari hasil aktiviti pengubahan wang haram.
Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.
UMNO dan Najib merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.
Untuk rekod, Najib telah secara konsisten mengatakan wang tersebut adalah merupakan dana pilihanraya milik UMNO.
No comments:
Post a Comment