Thursday, 12 December 2019

Kajian indeks Kepuasan Terhadap Kerajaan (GSI)

Soal selidik dilakukan badan pemikir bebas, EMIR Research mendapati tahap kepuasan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sudah 19 bulan mentadbir negara berada pada skor 0.53 atau purata seimbang berdasarkan Indeks Kepuasan Terhadap Kerajaan (GSI).

GSI itu hasil soal selidik dijalankan oleh 25 penyelidik membabitkan 1,992 responden.

Kajian diketuai Prof Datuk Dr Mohamad Sahari Nordin, Prof Dr Tunku Mohar dan Prof Dr Margarita Peredaryenko itu dibuat pada September hingga Oktober 2019.

GSI dinilai berdasar skala 0 hingga 1.

Kepuasan minimum bermula dengan 0 sehingga 0.2, di bawah kepuasan minimum (0.2 sehingga 0.4), kepuasan purata (0.4 sehingga 0.6), melebihi kepuasan purata (0.6 sehingga 0.8) manakala kepuasan maksimum antara 0.8 sehingga 1.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, berkata antara perkara yang dinilai berdasarkan kajian itu termasuk pelaksanaan manifesto, prestasi tujuh anggota utama Kabinet serta bagaimana ia memberi impak dan pengaruh terhadap corak mengundi rakyat pada masa akan datang.

Prof Margarita, berkata hasil kajian memperlihatkan PH mendapat sokongan 41 peratus responden membabitkan soalan parti politik manakah akan dipilih bagi kerusi Parlimen sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

Selebihnya, Muafakat Nasional (gagasan kerjasama antara UMNO dan PAS) memperoleh 38 peratus, parti bebas (17 peratus) manakala responden yang enggan memberi maklum balas adalah empat peratus.

Muafakat Nasional paling popular dalam kalangan responden Melayu dan Bumiputera, masyarakat luar bandar, golongan muda bawah 31 tahun serta golongan berpendapatan rendah.

Sebanyak 53 peratus responden Melayu dan Bumiputera memilih Muafakat Nasional manakala 33 peratus lagi akan memilih PH.

Namun, PH lebih popular dalam kalangan masyarakat Cina dengan 64 peratus responden akan memilih parti ini pada PRU-15.

No comments:

Post a Comment