Tentu semua orang yang mengikuti
perkembangan politik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tak lupa gambar beliau
melafazkan slogan membawa parti yang beliau ketuai ke PRU 15: NO ANWAR NO DAP NO PKR.NO PPBM.
Setelah keputusan PRU15 diumumkan dan BN
kalah, Zahid melakukan sebaliknya. Zahid bekerja keras untuk memastikan Datuk Seri
Anwar Ibrahim terlantik menjadi PM. Berlaku ‘tipu muslihat’ perebutan antara
bakal kerajaan PN atau kerajaan PH yang tiba tiba ditentukan oleh UMNO. Tindakan
beliau itu membangkitkan sedikit ‘kegemparan’ di kalangan pemimpin UMNO dan
hampir sampai ke akar umbi.
Rupanya beliau seorang pemain politik yang
sangat cekap, kerana dengan sekelip mata suara bising itu dapat beliau padam.
Tidak sedikit yang baru cuba lari itu lekas lekas kembali mencium tangan
beliau.
Zahid tampil memenangi kegemparan dalaman
itu. Ya ada suara di luar UMNO yang masih sehingga sekarang berbincang mengenai
kemungkaran Zahid terhadap partinya.
Tapi semua itu sudah tidak relevan. Yang
penting 'cikgu' sudah menjadi PM. Juga bukan kecil anak risiko yang ditanggung
oleh Cikgu kerana meminta bantuan murid nakalnya.
Selebihnya selepas itu Zahid pasrah.Ya satu
sisi, Zahid melakukan perbuatan mungkar politik semata mata untuk gurunya. Tak
mengapalah jika beliau kemudian nanti dihumban ke 'neraka politik' kerana
maksiat politik itu.
Ya tentu tak banyak orang sanggup lakukan
seperti yang Zahid lakukan. Saya katakan Zahid manusia luar biasa. Luar biasa
kesetiaannya dan luar biasa cara berfikirnya dan luar biasa taktik dan
perhitungannya.
Marahlah orang Ahmad Zahid kepada saya
kerana saya menulis begini.
Namun pada sisi lain, saya cuba masuk ke
dalam kasut Zahid. Adakah Zahid lakukan apa yang dilakukan semata mata untuk
cikgunya. Saya cuba selami hati Zahid walaupun saya bukan pawang atau shaman.
Zahid berbisik kepada hatinya 'aku lakukan
ini untuk UMNO'. Sama ada suara hati itu ikhlas pada mulanya, itu bukan terlalu
penting. Yang penting sekarang beliau percaya dan dengan conviction (ada alasan)
bahawa yang telah dilakukan itu ialah untuk UMNO terus hidup, dan hidup sihat
bukan hidup dalam sakit yang nazak.
Zahid menimbang. Bersama PN atau bersama
PH. Bilangan kerusi BN sedikit tetapi amat diperlukan semua pihak.
PN seperti tidak mengalu alukan BN. PN
seperti sedia menjadi pembangkang daripada bersama BN yang banyak menyulitkan
PN semasa bersama dalam kerajaan sebelumnya.
Idea mempercepatkan PRU pun bukan idea PN
tetapi terpaksa akur kerana tekanan UMNO.
Berbanding PH, nyata sekali Anwar mengalu-alukan
dan dapat pula mengamankan sekutu dalam PH yang bukan calang calang pendirian
mereka dulu menolak BN. Mungkin orang PN kata biar UMNO jadi luncai terjun laut
dengan labu-labunya. Orang Melayu akan tolak UMNO habis ke laut kerana sanggup
duduk serumah dengan DAP.
Itu belum tentu. Jika BN bertanding PRU 16 dengan
kekal penyokong Melayu taasub campur dengan kembalinya sokongan Cina dari DAP
dan Keadilan, mungkin gambarnya lain pula.
Selain itu, jangan lupa PM mungkin juga
sudah berbisik, “saya tidak akan mengecewakan kamu. Percaya kata-kata saya”. Lalu dijawab, 'saya yakin sepenuhnya kepada
kamu'.
Dalam keadaan itu, tentu Zahid berfikir lebih
baik berkahwin dengan bakal pasangan yang kurang cantik latarnya tetapi
kelihatan menerima dan mengalu-alukan, berbanding dengan calon yang kelihatan
mulia tetapi tiada kesungguhan untuk membina rumah tangga yang kuat kerana ada
rekod berputus cinta. Luka putus cinta masih baru. Cinta hendaklah sekurang
kurangnya kelihatan kesamaan.
Keturunan UMNO kelihatan lebih terjamin
jalurnya dan dialu-alukan jika berkahwin dengan PH walaupun sebelumnya tidak
pernah 'dating'.
Jika terjadi, ia adalah perkahwinan yang
diatur. Jika ada 'dating' hanyalah sedikit diam diam antara murid dan cikgu.
Bukankah hubungan murid-cikgu amat baik untuk UMNO kerana kedua-duanya pernah
ada jalur hubungan DNA.
Ya UMNO tetap kuat dalam agenda Zahid. Melalui
Zahid UMNO dijanjikan layanan baik dengan tawaran menduduki kabinet. Zahid berpengalaman lama di dalam kerajaan dan
sangat singkat pengalaman sebagai pembangkang.
Pengalaman itu tentu mengajar dan mempengaruhi
pendirian Zahid bahawa berada dalam kerajaan lebih baik untuk UMNO berbanding
menjadi pembangkang.
Jangan marahkan Zahid kerana berpendirian
begitu. Ingat beliau bukan berfikir untuk dirinya (sekurang kurangnya itulah
yang beliau percaya) tetapi untuk UMNO. Anda tidak tahu setakat mana kekuatan
sumber dan aparatus UMNO untuk menghadapi PRU16, sedangkan beliau amat tahu.
Anda hanya 'non-participant observers' berbanding Zahid yang berada pada kuasa
Pusat.
Penentang keputusan Zahid bercakap mengenai
maruah dan kesucian tindakan. Hei. Ini politik bukan perjalanan berdakwah keluar
40 hari untuk belajar membersihkan niat hati dan perbuatan. Bagi Zahid
'bottomline' politik ialah memanfaatkan peluang walaupun tinggal sedikit.
Berada dalam kabinet memungkinkan BN/UMNO
mendapat kebebasan bergerak, terus mendapat sinaran lampu serta ada peranan
memberi khidmat awam. Melaluinya orang BN/UMNO kekal disebut sebut, tidak
dilupakan.
Seperti orang bermain saham, sama ada
keluar terus dari pasaran setelah menanggung kerugian atau kekal dalam pasaran
selagi ada sedikit peluang dengan harapan memperoleh 'recovery'. Itu cara
berfikir praktikal Zahid.
Berada di dalam kabinet memungkin BN/UMNO
membeli masa untuk konsolidasi,
bermuhasabah dan merancang masa depan berbanding gopoh gapah keluar
membawa diri sehelai sepinggang setelah hilang segala-galanya.
PAU UMNO nanti dijangka Zahid akan kekal
Presiden. Tentang kes-kes mahkamah beliau, itu juga beliau pasrah. Jika beliau
mendapat ‘advantage’ itu hanya 'bonus', jika tidak, memadailah beliau dikenang
sebagai ‘penyelamat UMNO’.
Begitu sedikit telahan Pak Din. Mungkin
penentang Zahid marah Pak Din pulak di sini. Hei Pak Din dah U turn. Cepatnya. Takkkkkk.
Pak Din hanya cuba melihat dua sisi Ahmad Zahid. Terpulanglah kepada kawan-kawan
nak melihat cara kawan-kawan sendiri. Boleh hukum Zahid atau boleh herokan
Zahid. Namun ada pilihan ketiga iaitu berusaha memahami beliau. Terpulang.
Marah la Pak Din tapi jangan lama sangat.
Kitakan dah janji kita nak kawan sampai mati.
Pak Dinmu
(Nordin Kardi)
Kuala Kangsar
1 Disember 2022
No comments:
Post a Comment