Dilantik menjadi pemimpin bukan satu
keistimewan, sebaliknya ia satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu
dilaksanakan. Maka, jika gagal melaksanakan peranan yang sepatutnya, adalah wajar
pemimpin berkenaan meletakkan jawatan untuk membolehkan individu lain mengambil
alih jawatan atau tugas sebagai pemimpin.
Dalam politik, persatuan atau pertubuhan,
pemimpin yang gagal sering didesak oleh ahli agar melepaskan jawatan. Ya, itu
sememangnya wajar dilakukan oleh pemimpin.
Persoalannya, mengapa hanya pemimpin
tertinggi yang didesak melepaskan jawatan? Sedangkan kepimpinan terlibat dalam
semua peringkat.
Ambil contoh pilihan raya umum yang
melibatkan semua kerusi di seluruh negara atau sebanyak 222 kerusi. Parti yang
bertanding tentu ada menang dan kalah. PRU15 tidak ada parti yang benar-benar ‘kuat’
menang majoriti. Dengan kata lain, semua parti boleh dianggap ‘menang’ dan ‘kalah’.
Tetapi, ada parti dilabelkan kalah teruk
dan ahli akar umbi mendesak agar pemimpin tertinggi meletakkan jawatan.
Hakikatnya, parti itu bukan kalah di semua kerusi. Ada juga yang dimenangi.
Jadi, kalau ada tempat yang menang dan
banyak yang kalah, punca kekalahan itu tidak sepenuhnya berpunca pemimpin
tertinggi. Kalau kalau berpunca tindakan pemimpin tertinggi, sudah tentu di
semua kerusi ditandingi akan kalah.
Sepatutnya, semua pemimpin di pelbagai
peringkat bertanggung jawab atas kekalahan di peringkat yang dia menjadi
pemimpin. Pemimpin di peringkat negeri, bahagian (kawasan atau cabang), PDM (UDM)
dan cawangan (ranting) perlu juga bertanggungjawab.
Pemimpin di pelbagai peringkat ada peranan
dan tanggunajawab masing-masing. Keupayaan kepimpinan mereka banyak membantu
kejayaan parti, dan tentu juga punca kepada kekalahan.
Ada kawasan yang pemimpinnya hebat masih
mampu menang ketika kebanyakan kawasan lain kalah.
Jadi, tidak wajar yang kalah tidak mahu
mengakui kelemahan sendiri dan hanya menyalahkan pihak lain.
Sebenarnya banyak pemimpin parti yang berdepan dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan masing-masing. Tetapi, ahli perti berkenaan terus mempertahankan pemimpin mereka. Hasilnya parti mereka mencapai kejayaan lebih baik berbanding sebelumnya.
Namun, ada juga ahli parti yang secara berterusan menyalahkan pemimpin mereka. Lalu dibuat naratif politik untuk menjatuhkan. Yang buat naratif itu adalah di kalangan pemimpin parti itu sendiri dan disambut atau disokong oleh ahli akar umbi. Kalau ahli sendiri tidak yakin kepada pemimpin mereka, bagaimana parti hendak menang banyak kerusi?
Bersama-samalah muhasabah diri.
No comments:
Post a Comment