Hukum
kongsi gambar makanan. Ini satu lagi fenomina dunia moden. Apa saja
dimakan dan dilakukan akan dikongsi di media sosial. Konon ingin berkongsi
dengan orang lain.
Secara hukum fikah, perkara itu tidak salah berdasarkan kepada kaedah setiap
perkara atau perbuatan adalah harus, melainkan telah ada hukum yang jelas
mengatakan ia adalah haram.
Namun,
perlu diingatkan, mengapa kita perlu berkongsi dengan semua orang apa yang kita
lakukan? Hinggakan apa yang kita ingin makan pun dikongsikan dengan orang lain?
Bukan gambar yang sepatutnya dikongsikan.
Jika
ingin berkongsi, gunakan harta untuk disedekahkan kepada orang lain. Buat atau
beli makanan, kemudian diagih-agihkan kepada orang miskin atau sesiapa sahaja.
Kalau
hanya dikongsikan gambar, rasanya tidak ada apa yang diperoleh. Simpan sajalah
gambar makanan enak atau mewah yang anda makan. Ia bukan memberi kebaikan,
bahkan mungkin juga menimbulkan perasaan sakit hati dan dengki orang yang
melihatnya.
Lebih-lebih lagi kebanyakan caption atau tulisan bersama-sama gambar itu
menjemput orang lain makan bersama. Pelawaan itu tidak ubah seperti perli
dan mempermain-mainkan orang lain.
Sesungguhnya, dibimbangi perbuatan berkongsi gambar makan akan menyebabkan
terjerumus dalam riak dalam perkara dunia.
Al-Abdari mengatakan, "Antara jenis riak ialah seseorang menunjuk-nunjuk
kepada kepada ahli dunia tentang dunianya, seperti pakaiannya, kenderaannya,
tempat tinggalnya, tempat duduknya, makanannya, minumannya...". (Al-Adab
al-Syar'iyyah)
Begitu juga dibimbangi akan terjebak ke dalam sifat bermegah-megah dengan
makanan. Sedangkan syarak melarang daripada bermegahan dengan makanan.
Diriwayatkan dalam satu hadis, "Bahawa Rasulullah SAW melarang makanan dua
orang yang bermegah-megah (mutabaariyain) untuk dimakan". (Hadis riwayat
Abu Daud).
Sebelum muat naik gambar makanan di media sosial, tanya dulu hati adakah tujuannya untuk
menunjuk-nunjuk, ataupun untuk bermegah-megah, atau tidak?
Namun, jika dirasakan itu sekadar berkongsi dan mengeratkan hubungan sesama
rakan, perbuatan itu tidak salah. Terpulang kepada anda.
No comments:
Post a Comment