Tuesday, 13 December 2022

MENJAGA TUTUR KATA KETIKA BERDAKWAH

 
Islam agama yang memerintahkan umatnya menjaga akhlak. Akhlak yang baik ada cerminan bahawa seseorang itu adalah muslim sejati. Sesiapa yang tidak menjaga akhlaknya, maka itu adalah tanda dia tidak muslim yang baik.
 
Antara akhlak yang perlu dijaga adalah dalam tutur kata, tulisan ataupun perbuatan. Perbuatan ini amat penting terutama ketika kita melakukan kerja dakwah atau menegur perbuatan buruk pihak lain.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” – (Surah Al-Isrâ’, ayat 53)
 
Amat tidak patut jika orang yang mengaku dirinya baik, tetapi berkata-kata atau menulis perkara yang tidak baik.
 
Kata-kata yang buruk dalam bentuk bahasa kasar, kesat, mencerca dan sebagainya adalah perangkap syaitan untuk merosakkan hubungan baik sesama manusia.
 
Berkata-kata baik juga satu pesanan yang pernah diperintahkan kepada Bani Israel pada zaman dahulu.
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.” – (Surah Al-Baqarah, ayat 83)
 
Dalam ayat tersebut, Allah SWT berpesan kepada Nabi Musa agar menggunakan kata-kata yang lembut dan baik ketika menyampaikan dakwah kepada Firaun..
 
Sebagai manusia, kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.
Antaranya kesilapan dalam berbicara. Tegurlah kesilapan orang lain dengan baik sebagaimana kita juga suka jika kesilapan kita  ditegur dengan baik.
 
Orang yang berbuat salah itu tidaklah sejahat Firaun dan orang yang menasihati pula tidaklah sebaik Nabi Musa.
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.” – (Surah Taha, ayat 44)
 

No comments:

Post a Comment