Kerengga adalah sejenis semut yang besar
dan berwarna merah. Kerengga atau nama saintifiknya Oceophylla smaradgina
sememangnya sangat dikenali dan mudah dijumpai pada pokok buah-buahan.
Kerengga hidup dalam koloni dan membuat
sarang dengan ‘menjahit’ beberapa helai daun dengan menggunakan benang-benang
halus putih yang diambil dari larva mereka sendiri. Para pekerja bergerak ulang
alik dari satu daun ke daun lainnya membentuk anyaman.
Kena gigit kerengga memang memedihkan. Rasa
sakit boleh berlarutan sehingga beberapa jam. Biarpun rasa sakit tidak keterlaluan,
tetapi cukup untuk menyebabkan rasa tidak selesa.
Biarpun ada keburukan kerengga mendiami
pokok buah-buahan kerana ia menggigit manusia, tetapi ada kebaikan lain yang
mana kerengga menjadi pengawal pokok.
Manusia telah menggunakan jasa kerengga
dalam aktiviti perkebunan sejak berabad-abad yang lalu. Dalam kajian sejarah,
penggunaan kerengga telah dilakukan di Canton, China semenjak tahun 300 Masehi
untuk mengawal serangga perosak di kawasan ladang limau (Citrus) yang amat
berkesan.
Caranya mudah iaitu dengan mengambil sarang
kerengga dari hutan dan diletakkan di pokok buah-buahan yang terpilih. Laporan
menunjukkan kerengga ini akan membiak dan mendudukki pokok limau dan
buah-buahan lain jika ada sumber makanan yang mencukupi.
Contohnya, di kawasan kebun kopi, sering
jumpa sarang kerengga yang bersarang di daun-daun kopi, hasil kopi lebih banyak
berbanding yang tiada ‘pengawal’ kerengga.
Di kalangan anggota koloni kerengga
lazimnya yang paling aktif adalah kelompok pekerja. Merekalah yang rajin
mencari makan, membuat sarang dan gigih melindungi sarang dan wilayah mereka
siang dan malam hari.
Kajian menunjukkan setiap satu minit salah
satu kerengga pekerja akan memuntahkan makanan cair ke dalam mulut ratu. Mereka
menyuapkan kepada ratu dengan makanan yang telah diproses sehingga mebolehkan
ratu menghasilkan ratusan telur setiap hari.
Jika ratu telah bertelur lazimnya para
pekerja akan memindahkan telur-telur itu ke tempat yang selamat dan akan
membersihkannya serta memberi makan larva-larva kecil jika telah menetas.
No comments:
Post a Comment