Tersasul ketika berucap atau berkata-kata
tanpa sebarang niat yang disengajakan adalah kesilapan biasa berlaku kepada
manusia hukumnya dimaafkan Allah SWT.
Perkara itu terdapat dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Ahzab ayat kelima yang bermaksud: “"Dan tiada kesalahan
ke atas kamu pada apa yang kamu tersilap tetapi (yang salah) ialah apa yang
disengajakan oleh hati kamu. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani.
Dalam hadis, Nabi SAW menjelaskan tentang
seorang hamba yang terlalu dan teramat gembira menemui kembali untanya yang
turut membawa makanan serat minumannya yang hilang di padang pasir. Setelah
puas berusaha mencari dan telah berputus asa menemuinya kembali sehingga
tersasul ketika bersyukur kepada Allah lalu
menyebut, ya Allah! Kamulah hambaku dan akulah Tuhanmu.
"Dia tersilap (tersasul) kerana
terlampau gembira (Hadis riwayat Muslim nombor 2747).
Kegembiraan yang amat sangat menjadikan si
hamba tersasul menyebut perkataan yang pada zahirnya menjadikan dirinya kufur
sedangkan niatnya ialah bersyukur kepada Allah.
Hadis berkenaan menjelaskan bagaimana
tersasul dalam berkata-kata boleh berlaku apabila sesuatu keadaan menguasai
hati dan perasaan sehingga di saat itu lidah tidak terkawal berkata-kata
mendahului perasaan.
Perasaan terlalu gembira dengan nikmat
menjadikan lidahnya tidak terkawal mendahului perasaannya lantas menyebut
perkataan yang terbalik lalu Tuhan dikatakan hamba dan dirinya pula diperakui
sebagai Tuhan.
Sesuatu kesilapan yang tidak disengajakan,
maka ia dimaafkan oleh Allah SWT dan tidak dikira di dalam catatan amalan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya
Allah menggugurkan daripada umatku kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke
atas dirinya (Hadis riwayat Ibnu Majah nombor 2045, dinilai sahih oleh
al-Albaani).
Gambar sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment