Sangkak
adalah tempat ayam bertelur. Dalam dialek Kelantan dipanggil sakok. Sangkak
biasanya dibuat daripada batang buluh pada satu bahagian hujung dibelah-belah
dan kemudian dianyam membentuk seperti bentuk kon.
Dalam istilah Kelantan ada menggunakan
perkataan sakok iaitu berebut sakok dan gilo (gila) sakok. Berebut sakok
merujuk kepada berebut tempat atau perkara yang sama.
Sakok yang direbut itu adalah sesuatu yang istimewa kepada orang tertentu.
Biasanya sakok yang dimaksudkan itu merujuk kepada jawatan. Perebutan itu
menjadi hangat jika melibatkan bekas penyandang. Perang berebut sakok lebih
hebat jika ada penyokong.
Gilo sakok pula merujuk kepada sikap orang
yang “gila” atau terlalu ingin kepada yang pernah dimilikinya. Jadi, gilo sakok
kerap juga dituju kepada orang yang masih ingin kepada jawatan yang tidak lagi
dimilikinya olehnya.
Dia akan berlagak seperti dia masih
memiliki jawatan itu. Orang lain tidak boleh mengambil alih jawatan dan tugas
yang pernah disandang olehnya.
Kalau kes melibatkan meletak jawatan
sedangkan tiada paksaan atau keadaan yang perlu dia meletak jawatan, makanya menyesal
tidak sudah.
Pemimpim gilo sakok akan berasa perlu terus
menjalankan tugas sehingga berjaya. Dia tidak sedar bahawa apa yang dilakukan
itu sia-sia.
Pemimpin jenis gilo sakok akan terus berada di sakok biarpun bukan
lagi miliknya. Malah jika ada orang lain ingin mengambil sakok itu, maka akan
dilawan habis-habisan.
Kepada bekas pemimpin, sedarlah bahawa eranya sudah berlalu. Berilah peluang kepada orang lain pula. Tidak perlulah "gilo sakok" atau "berebut sakok".
Kalau hendak kembali ke sakok, kena cari ayam jantan dahulu. Apabila hendak bertelur carilah sakok baharu yang lebih selesa dan selamat.
No comments:
Post a Comment