Sunday, 8 August 2021

ELAK GUNA ISTILAH BAHASA ASING

 
Salah satu cara memperkasakan nilai dan identiti kebangsaan ialah melalui bahasa. Bahasa adalah jiwa bangsa. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka ia perlu menjadi bahasa utama rakyat Malaysia dalam bertutur mahupun tulisan, tidak kira bangsa apa.

Sayangnya semakin hari, identiti bahasa kebangsaan ini semakin terhakis. Malah, sejak kebelakangan ini, banyak pemimpin politik lebih gemar bercakap bahasa Inggeris atau mencampur aduk dengan bahasa tersebut.

Bahkan, semasa berbahas di Parlimen, sudah kelihatan ahli Parlimen yang ‘tiada adab’ menggunakan perkataan Inggeris.

Peraturan di Parlimen menetapkan setiap ahli Parlimen berbahas atau berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Jika ada maksud yang perlu dijelaskan dalam bahasa Inggeris, maka sebelum menyebut perkataan Inggeris tersebut hendaklah dahulu meminta izin dengan menyebut ‘dengan izin’.

Seboleh-bolehnya kita memaksimakan penggunaan bahasa Melayu dalam percakapan mahupun penulisan, melainkan maksud yang ingin diperkataan itu tiada yang tepat dalam bahasa Melayu. Ia seperti berkaitan sains dan teknologi atau istilah yang terlebih dahulu terkenal dalam bahasa lain dan tiada lagi dalam bahasa Melayu.

Penghakisan nilai bahasa Melayu bukan sahaja dirobek oleh mereka yang berminat terhadap bahasa Inggeris, tetapi juga mereka yang berasakan hebat menggunakan bahasa Arab.

Bahasa Arab kini semakin perlahan-lahan menghakis identiti bahasa Melayu atas dasar kononnya ia bahasa al-Quran dan bahasa penghuni syurga.

Lihat sahaja ketika tibanya bulan suci Ramadan. Kita dengan gembiranya melontarkan ucapan berbahasa Arab seperti 'Ahlan wa sahlan ya Ramadan' dan 'Marhaban ya Ramadan' kepada handai taulan kita, berbanding ucapan 'Selamat datang Ramadan' dalam bahasa Melayu.

Kita dengan cepatnya menasihatkan teman dan rakan untuk selalu 'husnuzzon' dan tidak 'suuzzon' berbanding menggunakan perkataan 'bersangka baik' atau 'bersangka buruk'.

Saat menghadiri majlis perkahwinan, kita ikhlas mendoakan pasangan pengantin untuk selalu 'sakinah, mawaddah, wa rahmah' dan bukannya 'Semoga rumah tangga yang dibina tenang, damai dan penuh cinta hingga ke anak cucu.

Kita juga lebih mudah mengucapkan istilah Arab 'husnul khatimah' berbanding 'pengakhiran yang baik' saat kita berdoa.

Sudah kehabisankah istilah bahasa Melayu sehingga kita terpaksa menggunakan istilah Arab. Cukuplah dengan istilah bahasa Arab yang sudah lama diterima dalam istilah bahasa Melayu seperti perkataan syukur, solat, taubat dan lain-lain.

Menggunakan perkataan dalam bahasa asing, sebenarnya secara tidak langsung, kita sedang memperkatakan tentang kehebatan bahasa asing sehingga kita begitu teruja untuk menggunakannya.

Sayang seribu kali sayang, peluang yang sepatutnya kita gunakan untuk memperkenalkan keindahan istilah bahasa Melayu kita, disia-siakan untuk mempromosi istilah bahasa lain pula.

No comments:

Post a Comment