Thursday, 4 August 2022

CARA PENGADIL MEMBERI MARKAH SECARA ADIL

 
Adat bertanding ada menang dan kalah. Namun, kalau kalah biarlah kerana orang lain lebih baik, bukan kerana pengadil yang tidak melaksanakan tugas dengan baik.

Bila sebut pertandingan, maka bersungguh-sungguhlah yang menyertai pertandingan itu hendak menang. Biarpun bukan hadiah yang dikejar, tetapi semangat menang itu amat penting. Penyokong pun tidak kurang juga inginkan individu atau kumpulan yang disokong memperoleh kemenangan.

Kita boleh lihat orang menjadi 'bodoh' kerana hendak menang. Sanggup melakukan apa saja asalkan boleh membantunya untuk menang. Sanggup selongkar tong sampah untuk mencari sesuatu yang membolehkan dia menang. Biar muka diconteng dan dibuat macam-macam asalkan dapat memberi markah untuk dia atau kumpulannya menang. Sememangnya itulah semangat bertanding.

Pertandingan dalam kumpulan adalah cara terbaik untuk menyatukan organisasi. Individu berjawatan paling tinggi dalam organisasi sanggup bersama-sama melakukan apa saja dengan orang berkedudukan paling rendah dalam haraki organisasi semata-mata untuk memastikan pasukannya menang.

Demi mendapat markah, apa sahaja sanggup dilakukan. Biar kena gelak dan 'diperbodohkan' orang lain, namun sanggup dilakukan untuk markah.

Maka itu, jika ketidakadilan berlaku dalam pemberian markah, sudah tentu akan menyebabkan peserta akan marah dan tidak puas hati. Apabila kemarahan memuncak, perasaan tidak dapat dikawal lagi. Tidak kena gaya, penyepak dan penumbuk yang dihalakan kepada pengadil.

Bukan tidak dapat menerima kekalahan, tetapi inginkan penghargaan dan pengiktirafan apa yang dilakukan. Jangan pengadil buat suka hati dan tidak perihatin dalam pemberian markah. Berusahalah buat seadil-adilnya, biarpun disedari bukan dapat berlaku adil 100 peratus.

Kalau patut dibuat skala markah, sediakan dengan baik. Buat catatan dan perhatikan dengan baik. Adakan sekurang-kurangnya dua atau tidak orang pengadil yang akan menampakkan kesungguhan pengadilan.

Kalau ada pelbagai aspek pemarkahan seperti yang disyaratkan, nilaikan semua eleman tersebut. Beri markah dan nilaikan dengan jujur. Tidak kiralah peratusan markah itu besar atau kecil.

Sikap pengadil yang sekadar sambil lalu memberi markah menampakkan sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab. Seperti tidak menghargai langsung penat lelah orang lain bersiap dan melakukan tugasan untuk dinilai.

Berilah penghargaan kepada usaha dan kerja-kerja orang lain. Hargai dan buatlah penilaian yang sewajarnya. Kalau rasa hendak beri kemenangan kepada pihak lain, buatlah lakonan betapa seriusnya pengadil membuat penilaian. Tengok baik-baik dan beri markah, biarpun tidak adil, kerana itu setidak-tidaknya menunjukkan mereka menjalankan tugas sebagai pengadil.  

Gambar: Pokok bunga pagoda putih

No comments:

Post a Comment